Sunday, February 6, 2011

SITI NURHALIZA TERUS UNGGULI BIDANG HIBURAN

Tempoh 15 tahun yang penuh warna-warni   barangkali sudah cukup menterjemahkan perjalanan hidup anak seni bernama Siti Nurhaliza Tarudin ini. Daripada seorang gadis biasa dia kini menjadi sebuah kuasa  yang sukar ditundukkan. Kerana itu, tidak hairanlah jika dia sentiasa menjadi mangsa iri hati segelintir pihak.Lalu apabila namanya diumumkan sebagai Bintang Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 ( ABPH2009 ), apakah keputusan itu seharusnya dipertikaikan lagi? Ada benarnya ramai artis lain yang mampu meraih gelaran itu khususnya artis baru tetapi sehingga kini kehebatan Siti sukar dinafikan.                                         
Kejayaan itu merupakan rekod cemerlang buat Siti. Bukan sekadar tujuh kali menggenggam trofi Bintang Paling Popular tetapi Siti juga mencipta satu lagi rekod hebat apabila memenangi Penyanyi Wanita Popular selama 13 tahun berturut-turut.Kedua-dua rekod itu sudah cukup membuktikan kehebatan anak jati Pahang ini dalam bidang seni biarpun perlu bersaing dengan muka baru yang lebih menyerlah.


Bagi Siti, kemenangannya pada malam bersejarah itu amat disyukuri.
Jelas Siti, sepanjang menjadi artis, peminat merupakan nadi kekuatan dan pembakar semangatnya untuk meneruskan karier. Sementelah, ABPBH2009 merupakan penyertaan terakhirnya, Siti tidak menafikan kemenangannya itu hasil usaha peminat yang mahu melihatnya menjulang trofi tersebut buat kali terakhir. Apatah lagi, gelaran Bintang Paling Popular kali ketujuh itu disifatkannya sebagai hadiah terbaik daripada peminatnya sempena ulang tahun ke-15 sebagai anak seni.
"Saya bersyukur kerana memiliki peminat yang terbaik dan terhebat kerana mereka tidak pernah jemu menyokong walaupun ada ketika saya dihambat kontroversi. Namun begitu, mereka masih setia di belakang saya dan mahu terus melihat saya berdiri di pentas. Terima kasih atas segala sokongan, pengorbanan dan semangat yang mereka berikan kepada saya sepanjang 15 tahun," kata Siti dalam nada terharu.
Sebelum ini, Siti pernah memenangi kategori tersebut selama lima tahun berturut-turut dari tahun 1996 hingga 2001. Kemudian, gelaran itu berpindah kepada Rosyam Nor dan Saiful Apek sebelum Siti memenangi semula pada tahun 2004.
Sejak tahun 2005, ia menjadi milik Mawi selama tiga tahun berturut-turut sebelum Nabil menjulangnya tahun lalu.
Untuk gelaran Bintang Paling Popular, Siti menerima 225,300 undian menewaskan nama-nama seperti Aizat, Faizal Tahir, Mawi serta penyandang gelaran itu tahun lalu, Nabil. Selain trofi, Siti juga membawa pulang hadiah bernilai hampir RM330,000 termasuk sebuah kerata pacuan empat roda, Nissan X-Trail berharga RM130,000, barang kemas, perabot mewah dan pakej penginapan mewah di Hotel Palace of The Golden Horses.
Manakala untuk Penyanyi Wanita Popular pula, Siti membenamkan impian empat calon lain iaitu Jaclyn Victor, Mila, Stacy dan Yuna. Pada masa yang sama, Siti berharap tidak akan ada pihak yang cuba membangkitkan isu kemenangannya dirancang hanya kerana ABPBH2009 merupakan tahun terakhirnya. Dengan penuh diplomasi Siti menjelaskan, perkara itu tidak seharusnya timbul kerana ABPBH merupakan anugerah yang menjadikan peminat sebagai juri.
"Peminat saya bersungguh-sungguh mengundi. Saya tahu mereka benar-benar melakukan sedemikian. Apa yang saya harapkan, mereka akan terus menyokong saya walaupun saya tidak akan menyertai ABPBH lagi. Sudah semestinya, saya akan terus memberikan sokongan buat ABPBH pada masa depan," ujarnya yang anggun mengenakan busana rekaan Rizman Ruzaini pada malam itu.
Penyanyi lagu Ku Percaya Ada Cinta ini juga menolak dakwaan penarikannya daripada ABPBH kerana mahu memberi peluang kepada artis lain. Maklumlah, kalau nama Siti tersenarai, sudah pasti artis lain hanya mampu berputih mata. Dengan penuh rendah diri, biduanita muda negara ini menjelaskan, dia enggan menjadi seorang yang angkuh jika mengeluarkan kenyataan demikian.
"Saya fikir sesiapa sahaja boleh mencapai kejayaan seperti yang saya kecapi tidak kira penyanyi, pelakon, pengacara, penyampai radio ataupun artis komedi. Apa yang penting, kerja keras, pengorbanan dan kesabaran merupakan faktor penting untuk berjaya," katanya yang menamakan Aznil Nawawi dan Rabbani yang dilihat mampu mencatatkan rekod seperti mana dilakarnya untuk kategori Penyanyi Wanita Popular.

ZETI AKHTAR TOKOH MAAL HIJRAH 1432

Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dipilih sebagai penerima tokoh Maal Hijrah 1432H pada Majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Zeti, 63, merupakan penerima Tokoh Maal Hijrah wanita pertama negara selepas 24 tahun ia dianjurkan.
Beliau menerima hadiah wang tunai RM100,000, pingat, plak, dan sijil penghargaan.
Zeti dianggap sebagai penerima dua zaman kerana bapanya, tokoh akademik Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid pernah menerima anugerah itu 11 tahun lalu.

Bercakap kepada pemberita selepas penganugerahan itu, beliau berkata ia adalah penghormatan terbesar yang tidak pernah disangka dan diimpikan.   


  "Saya sangat berterima kasih dan ini juga sebagai dorongan dan inspirasi untuk saya terus berusaha," kata pemegang Sarjana dan ijazah kedoktoran Kewangan dan Ekonomi Antarabangsa dari University of Pennsylvania, AS itu. Selain menerima pelbagai anugerah dalam negara, beliau turut menerima pengiktirafan dari luar apabila dipilih menganggotai Suruhanjaya Pakar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk mencadangkan hala tuju sistem monetari dan kewangan dunia serta mempengerusikan Jawatankuasa Kerja Usahasama Serantau (EMEAP) bagi merangka pelan induk kerjasama kewangan antara bank-bank pusat.

Di bawah pimpinan Zeti, sistem kewangan Islam kini bertapak kukuh di negara ini dan menyumbang kepada sebuah sistem kewangan yang berdaya saing, pelbagai, komprehensif, dan inklusif.

Antara kejayaan Zeti dalam tempoh sedekad ialah menjadikan Malaysia sebagai pasaran sukuk terbesar di dunia, peningkatan aset perbankan Islam sebanyak tiga kali ganda kepada 21 peratus serta lebih 100 institusi kewangan Islam domestik dan antarabangsa kini beroperasi di Malaysia.

Di peringkat antarabangsa Zeti turut menyumbang kepada penerimaan global kewangan Islam termasuk dengan mengetuai pasukan antarabangsa dalam penyediaan laporan 'Financial Stability and Islamic Finance' dan mempengerusikan penubuhan Islamic Financial Services Board, sebuah agensi antarabangsa bagi menetapkan dasar kewangan prudent institusi kewangan islam seluruh dunia.

Berkongsi rahsia kejayaan, Zeti berkata beliau mengisi setiap masa yang ada dengan membaca terutama bahan bacaan mengenai kewangan, ekonomi, pembangunan kepimpinan, dan pembangunan kendiri. Justeru beliau menasihatkan kepada semua terutama golongan muda agar mempunyai keinginan dan rasa ingin tahu yang berterusan bagi meningkatkan pengetahuan.

Sementara itu, Ungku Abdul Aziz, 88, berbangga dengan kejayaan anak tunggalnya itu sebagai penerima pertama wanita untuk anugerah berkenaan. Kejayaan Zeti ini membuktikan bahawa wanita juga boleh berjaya di dalam bidang korparat walaupun hanya sebagai golongan minoriti dalam kalangan kaum lelaki yang memonopoli bidang ini.

IBU TUNGGAL PEMANGKIN KEJAYAAN 9 ANAK

Seorang ibu tunggal dari Kampung Batu 4, Binjai, Kemaman berjaya membesar dan mendidik sembilan cahaya mata sehingga enam daripadanya berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading serta memiliki kerjaya yang baik walaupun wanita gigih itu hanya bersandarkan pendapatan hasil kedai runcit kecil-kecilan berhampiran rumah.

“Mak cik selalu pesan anak-anak jangan tinggal sembahyang dan mereka sejak kecil memang menghormati saya dan arwah suami serta orang tua. Dengan sikap sedemikian mereka membesar dengan baik dan beroleh keberkatan dalam hidup,” kata Kiah @ Saadiah Talib, 64, selepas menerima Anugerah keluarga Mithali Terbilang 2010 Parlimen Kemaman di Awana Kijal, Kemaman, kelmarin 27 Julai .

Kiah berkata, walaupun kematian suami yang mengidap barah hati pada 30 September 2007, dia tidak menganggap kehilangan tunggak keluarga itu sebagai penghalang untuk terus mengecap kebahagian bersama anak-anak yang sudah dewasa dan enam daripadanya telah berkeluarga.

Nenek kepada 15 cucu itu berkata, kesemua anak-anaknya sering mengambil berat dan saling membantu antara satu sama lain sekaligus menguatkan lagi hubungan mereka sekeluarga dan setiap masalah yang melanda keluarga mereka dapat diatasi dengan baik.

Menurutnya, walaupun hidup mereka sejak dulu hanya bergantung kepada pendapatan yang tidak menentu melalui perniagaan kuih sebelum beralih menjual barangan runcit di kedai yang dibina berhampiran rumah, mereka tetap mampu menjalani kehidupan yang sederhana dan tidak berserah nasib kepada takdir semata-mata.

“Walaupun hidup ketika muda dan anak-anak masih kecil dulu tidak begitu senang, mak cik tetap bersyukur dikurniakan rezeki memiliki anak-anak yang mendengar kata dan rajin belajar untuk mengubah nasib keluarga dan hasilnya kami nikmati kini, “ kata Kiah yang turut berterima kasih kepada Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) kerana memilih keluarganya sebagai penerima anugerah itu.

Sembilan anak Kiah adalah Noriah Abu Bakar, 48, surirumah; Noreha, 46, guru (bekas penuntut Universiti Putra Malaysia); Musalmah, 44, surirumah; Hanafi 42, berniaga (bekas penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM); Tarmizi, 39, juruteknik (bekas penuntut Politeknik); Suhaidi, 35, pegawai agensi pelancongan ; Nurbairi, 29, jurutera (bekas penuntut UTM); Zatul Itri, 25 (sedang mengikuti Master di UPM) dan Nor Hasmira, 20, penuntut Universiti Teknologi Mara.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said dengan diiringi isteri, Toh Puan Norliza Mahmud menyampaikan hadiah kepada semua penerima anugerah mengikut Dewan Undangan Negeri (Dun). Hadir sama, Adun Air Putih, YB Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar dan Adun Kemasik, Ir Rosli Othman. Turut hadir, Pengarah YPK Terengganu, Encik Shafaruddin Mustafa.