Sunday, February 6, 2011

TANGIS DI HUJUNG SENJA...

“Biarkan dia pergi! Anak tak sedar diuntung! Kau nak sangat jadi rakyat biasakan? Pergi! Mulai hari ini aku haramkan kau melangkah lagi ke dalam rumah ini. Ingat Tengku Mia Sara, kau pilih. Sekali kau melangkah keluar, jangan kau jejak lagi rumah ini. Aku tak mengaku lagi kau sebagai anakanda aku. Aku putuskan segala hubungan kau dengan kerabat diraja Johor! “
                “ Abang, mengucap abang. Mia anak kita,” Raja Tengku Sofia cuba memujuk suaminya, Tengku Mukhriz.
                Air mata mulai jatuh ke pipi Tengku Mia Sara yang berada di sudut ruang tamu banglo tiga tingkat itu. Namun dia sudah bertekad. Dia inginkan perubahan. Dia tidak mahu lagi dianggap sebagai puteri  raja yang manja dan tidak reti berdikari.
                “ Mia, kau pilih! “
                Tengku Mukhriz bangun menuju ke tingkat atas. Namun langkahnya terhenti di anak tangga.
                “ Baiklah, Mia akan keluar dari rumah ini. Mia akan buktikan kepada ayahanda bahawa tanpa pertolongan ayahanda, Mia juga boleh berjaya. Mia tidak kisah terputus hubungan sebagai kerabat diraja Johor. Mia yakin sebagai rakyat biasa pun, Mia masih boleh berjaya. Bukannya hanya enjoy dan menghabiskan duit rakyat.”
                “ Mia! Tarik balik kata-kata Mia itu. Mia sedar tak apa yang Mia katakan ini? “ Raja Tengku Sofia menggoncang-goncang bahu anak gadisnya itu.
                “ Biarkan dia pergi Sofia. Aku ingin melihat sejauh mana dia boleh melangkah tanpa kita. Mulai saat ini, aku gugurkan gelaran Tengku pada nama engkau. Kalau kau ingin sangat menjadi rakyat biasa, jangan kau guna lagi pengaruh keluarga ini. Aku berani bertaruh, dia akan kembali juga ke banglo ini, “ Tengku Mukhriz terus berpaling dan meneruskan langkahnya ke tingkat atas.
                Tengku Mia Sara juga menuju ke tingkat atas tanpa mengendahkan keadaan bondanya yang sedang teresak-esak menangis. Beberapa minit kemudian, dia turun dengan menjinjit sebuah bagasi besar di tangan kanannya.
                “ Maafkan Mia, bonda. Mia perlu pergi. Mia akan buktikan kepada keluarga ini suatu hari nanti bahawa Mia juga boleh berjaya. Bonda, tolonglah restui Mia. Mia ingin melakukan perubahan,” Tengku Mia Sara menyalami bondanya cuba menohon restu seorang ibu.
                Tengku Mia Sara melangkah keluar dari banglo tiga tingkat itu dengan penuh keazaman. Dia kini bukan lagi Tengku Mia Sara, puteri bongsu pasangan diraja Tengku Mukhriz dan Raja tengku Sofia. Tetapi dia kini Mia Sara, gadis 18 tahun yang akan memulakan dan mencari hala tuju hidupnya. Dia tidak mahu hanya menjadi seorang puteri raja yang manja dilimpahi segala kemewahan tetapi kini dia ingin menjadi seorang wanita yang menjadi nadi pembangunan sebuah negara. Itu tekadnya!
                Sesampainya dia di pintu pagar rumahnya, dia berpaling melihat ke muka pintu. Kelihatan sekuntum senyuman pahit penuh harapan terukir di bibir bondanya.
“ Mia, pergilah membina hidupmu anakanda. Bonda tunggu kepulanganmu suatu hari nanti. “ Raja Tengku Sofia memberikan restunya.
==================================================================================

“ Assalammualaikum, ibu, “ ucap Mia di muka pintu.
Rumah papan sederhana besar itu kelihatan sunyi sepi. Hanya kedengaran desir-desir angin sepoi-sepoi bahasa bertiup perlahan. Mia duduk di anak tangga memandang ke arah sawah yang terbentang luas di hadapannya. Tiba-tiba ingatannya kembali menerawang ke peristiwa 18 tahun lepas yang telah membawanya ke desa ini.
“ Awak kena tolong saya. Saya dah tinggalkan segala-galanya, “ rayunya penuh harapan kepada pemuda itu. Air mata di kelopak mata cuba ditahan daripada jatuh ke pipi. Demi sebuah harapan dan cita-cita, dia terpaksa menebalkan muka di hadapan seterunya itu.
“ Awakkan puteri raja. Takkanlah sampai terpaksa meminta bantuan golongan bawahan seperti kami ini. Tak malukah merayu sehingga ke muka pintu pondok buruk ini? “ Faiz memulangkan paku buah kerasnya.
Dia cuba mengeraskan hatinya walaupun di hadapannya kini seorang gadia sedang teresak-esak menangis. Perbualan di muka pintu itu telah menarik perhatian ibu Faiz, Mak Salmah untuk keluar menjenguk.
“ Kenapa  Faiz? Siapa ini? “ soal ibu tunggal berusia 50-an itu dengan kerutan di dahinya.
“ Entahlah ibu, puteri raja dari kayangan agaknya, “ jawab Faiz separuh menyindir.
“ Sudah, sudah. Bawa dia masuk, “ arah Mak Salmah sambil memeluk bahu Mia.
Mulai hari itu, semuanya telah berubah. Berbekalkan wang simpanan di dalam akaunnya dibantu dengan bantuan Mak Salmah dan Faiz, Mia mula membuka penternakan kambing di kampung itu. Bermula secara kecil-kecilan kini Mia boleh berbangga dengan kerjayanya sebagai penternak kambing. Namun jauh di sudut hati, kerinduan pada keluarga yang telah lama ditinggalkan sudah tidak terbendung lagi. Tetapi Mia sedar, dia kini sudah dibuang keluarga.
“ Sayang, kenapa duduk kat pintu ni? Mari masuk, “ sapaan suami tercinta menghentikan lamunannya.
“ Mama, jomlah masuk. Sofia lapar, “ rengek si kecil itu pantas menghadirkan senyuman di bibirnya. Hilang segala kesedihan yang dirasai sebentar tadi. Dia kini kembali tersenyum bahagia.


                “ Ameng, pesanan dari Alor Setar untuk kambing Jamna Pari tu kamu dah uruskan belum penghantarannya? “ Mia bertanyakan pekerjanya.
                “ Sudah puan, tengah hari nanti lori akan bertolak ke Alor Setar, “ jawab Ameng sambil memunggahkan makanan kambing ke dalam stor.
                Jamna Pari merupakan salah satu spesies kambing yang banyak diternak di Malaysia. Rupanya yang hodoh merupakan tarikan utama penternak kambing untuk menternaknya. Kambing jenis ini bersaiz besar dan mulutnya berbentuk parrot mouth. Bulu tebal dan panjang di peha dan pinggulnya yang dikenali sebagai feathers merupakan ciri utama spesies ini. Ditambah pula dengan kehadiran tanduk bagi kedua-dua jantina jantan dan betina, ekornya keras dan pendek. Berat kambing spesies ini boleh mencecah 120 kg bagi jantan dan 90 kg bagi betina. 
                “ Sayang, kita kena balik Johor Bahru sekarang. Sayang kena balik jenguk ayahanda. Ayahanda sakit sayang, “ berita yang dibawa suaminya cukup untuk menghentikan nafasnya buat seketika.
                Mia terduduk di bangku berhampiran dengannya.
                Faiz mendekati isterinya lalu mengusap lembut bahu Mia penuh pengertian.
                “ Abang, Mia tak boleh balik. Ayahanda dah tak mengaku Mia sebagai anaknya. Mia anak yang dibuang keluarga, “ ucap Mia dengan linangan air mata.
                Sudah sekelian lama Faiz tidak melihat air mata itu jatuh dari kelopak mata isterinya. Sejak 18 tahun yang lalu, Mia cukup tabah dalam mengharungi suka duka serta jatuh bangun hidupnya. Termasuklah ketika dia berhadapan dengan masalah perniagaannya dahulu. Sedikitpun dia tidak pernah menangis. Dia wanita yang cekal sehinggalah dia kini sudah bergelar usahawan wanita yang berjaya dan disanjung masyarakat kampung mereka. Tetapi tatkala mendengar berita mengenai ayahandanya, air mata itu pantas merembes keluar tanpa henti. Pada saat itu, Faiz dapat melihat sisi diri isterinya yang sarat dengan kerinduan pada keluarga tercinta. Selama 18 tahun isterinya itu tidak pernah sekali pun berbicara mengenai keluarganya. Namun hari itu segala-galanya berubah.
                “ Abang, apa yang perlu Mia lakukan? “ penuh kekeliruan wajah itu kelihatan begitu sayu dan suram.
                “ Mia, ayahanda pasti dah memaafkan Mia. Pulanglah Mia. Bonda merayu pada abang untuk membawa Mia pulang.”
                Mendengarkan tentang bondanya, air matanya kian deras menderu jatuh ke pipi. Lantas doa dipanjatkan kepada Ilahi semoga keputusan yang bakal dibuat tepat dan dapat membawa kebaikan kepada semua pihak. Tangan Faiz digenggam erat. Dia perlu pulang ke pangkuan keluarga!


                Kaki yang sebentar tadi laju melangkah kini kaku di hadapan pintu pagar banglo mewah itu. Serta-merta air matanya jatuh ke bumi. Matanya meneliti seisi rumah penuh kesyahduan. Rumah itu masih kelihatan sama sewaktu dia meninggalkannya 18 tahun lalu. Mia menoleh ke belakang. Mencari sang suami bagi mendapatkan sedikit kekuatan.
                “ Masuklah Mia, mereka pasti sedang menunggu kita,” ujar Faiz bagaikan mengerti gelora di hati isterinya.
                Berbeza sekali dengan Faiz yang tidak pernah boleh berjumpa dengan Tengku Mia Sara 18 tahun yang lepas. Mereka menjadi musuh ketat di sekolah. Mereka bersaing dalam pelbagai aspek baik dari segi jawatan ketua pengawas sehinggalah dalam melayakkan diri untuk mewakili sekolah dalam pertandingan catur dan juga bowling peringkat antarabangsa. Namun kejadian pada tengah hari itu telah merubah segala-galanya.
                “ Sedarlah diri kau tu sikit. Kau anak orang miskin, mampukah mak kau nak hantar kau ke Korea untuk menyertai pertandingan catur itu? Jangan susahkan orang lainlah Faiz. Kau bagi sahaja peluang itu kepada aku. Dah tentu mak bapak aku mampu untuk hantar aku ke sana. Tak perlulah kau bersusah payah untuk bekerja semata-mata untuk mencari wang saku ke sana, “ penuh sombong Tengku Mia Sara cuba untuk menaikkan api amarah Faiz.
                Faiz memandang saingannya itu dengan pandangan yang tenang dan bersahaja walaupun sebenarnya kata-kata Tengku Mia Sara untuk telah menaikkan darahnya. Dengan nada menyindir, Faiz menyedarfkan Tengku Mia Sara tentang suatu hakikat kehidupan.
                “ Tengku Mia Sara binti Tengku Mukhriz, puteri raja kerabat diraja Johor. Ya, aku mungkin anak orang miskin. Anak seorang petani yang turun ke bendang saban hari hanya untuk mencari sesuap nasi. Tapi sekurang-kurangnya aku bukanlah seorang anak kerabat yang hanya duduk di rumah menggoyang kaki menghabiskan duit rakyat. Apa yang kau banggakan dengan kehidupan kau? Hanya berbangga dengan kekayaan mak bapak. Kau puteri yang tidak pernah merasa nikmat kehidupan. Kau tidak pernah berusaha untuk mendapatkan sesuatu sebagaimana yang kami perlu lakukan sebagai rakyat biasa. Itu yang kau mahu megah-megahkan? Hei, sedarlah diri itu sedikit! Berbangga bukan dengan titik peluh sendiri, tak malukah? Dengar sini ya wahai puteri raja, hamba rakyat biasa ini mencabar tuan puteri untuk berdiri atas kaki sendiri dan mencapai kejayaan. Buktikan pada tuan hamba yang hina ini bahawa tuan puteri mampu berdikari tanpa bantuan daripada keluarga. Ada beranikah? “ suatu cabaran telah diberikan. Dan kerana ingin menyahut cabaran itulah Tangku Mia Sara telah dibuang kelurga.
                “ Mia anak bonda! “ jeritan penuh kegembiraan Raja Tengku Sofia membuatkan seisi rumah menoleh ke muka pintu.
                Lantas anak dan ibu yang sudah lama terpisah itu kembali berpelukan buat sekalian lamanya. Pantas Raja Tengku Sofia menarik tangan anak bongsunya itu ke tingkat atas. Tanpa sebarang bicara, Mia Sara hanya menurut diiringi suami dan anaknya. Tangannya yang sejuk dan menggigil sudah cukup untuk meyatakan tentang perasaannya yang bercampur-baur.
                Sampai sahaja di muka pintu kamar ayahandanya, kaki Mia bagaikan dipaku di situ. Terhenti langkahnya. Namun kenyataannya kembali bertambah apabila melihat raut wajah bonda tercinta yang memandangnya penuh harapan. Dan segala-galanya berubah apabila......
                “ Abang, tengok ni siapa datang, “ beritahu Raja Tengku Sofia membisikkan ke telinga suaminya.
                Raja Mukhriz membuka matanya perlahan-lahan. Tatkala terpandangkan anakanda yang telah lama dirindui kini berada di depan mata, dia mengeluh panjang. Hatinya dihambat kebimbangan. Pandangannya dialih ke sisi mengelak pandangan Mia Sara.
                “ Ayahanda, maafkan Mia, “ ucap Mia Sara pilu.
                Lantas tangan ayahanda tercinta dipegang. Mia menguatkan semangatnya walaupun dia sedikit terasa dengan reaksi ayahandanya sebentar tadi yang bagaikan tidak mengalu-alukan kedatangannya. Wajah Raja Tengku Sofia dipandang memohon pengertian. Faiz yang turut berada di situ bersama anak mereka turut berdebar-debar menunggu adegan seterusnya antara anak-beranak itu.
                “ Ayahanda, Mia pulang ke mari bukan kerana Mia gagal untuk berjaya dalam hidup tetapi Mia kembali untuk memberikan kejayaan dan kebanggaan ini kepada ayahanda. Mia telah buktikan ayahanda, tanpa kesenangan hidup kita juga boleh berjaya jika disertai dengan keazaman dan tekad yang kuat. Mia bawa sekali suami dan anak Mia ayahanda. Mia mohon ampun dan maaf kalau Mia berkahwin tanpa restu ayahanda. Mia cuba beritahu ayahanda masa tu tapi ayahanda enggan menjawab panggilan Mia. Maafkan Mia ayahanda. Sofia, mari salam dengan ninda, “ kedengaran getar suara Mia Sara semakin ketara.
                Tangan Sofia ditarik mendekati Tengku Mukhriz. Lalu anak kecil itu menyalami tangan tua itu dan mengucupnya penuh hormat. Tanpa disangka, pipi Tengku Mukhriz dicium mesra.
                “ Mari Sofia, kita balik, “ ujar Mia Sara dengan rasa terkilan yang sarat di hatinya. Tatkala pasangan suami isteri serta anak kecil itu sudah sampai di muka pintu, kedengaran Tengku Mukhriz memanggil.
                “ Anakanda, “ panggil Tengku Mukhriz lemah.
                Mia Sara menoleh ke belakang dengan linangan air mata. Lalu sepantas kilat dia berlari ke arah ayahandanya sebaik sahaja terlihat ayahandanya mendepangkan tangan tanda menerima kepulangannya.
                “ Mia, maafkan ayahanda. Ayahanda terlalu mementingkan keturunan dan harta ketika menghalau engkau dari rumah ini. Ayahanda terlalu mengikut ego ayahanda walaupun jauh di sudut hati ayahanda pada ketika itu terdetik dan percaya bahawa engkau pasti berjaya. Ayahanda telah memisahkan engkau dengan bonda engkau. Maafkan ayahanda, anakanda, “ pohon Tengku Mukhriz. Air mata seorang ayah yang terlalu merindu anaknya akhirnya jatuh jua.
                Lalu anak beranak itu berpelukan.
                Derita pesakit Alzheimer itu akhirnya berkurangan apabila anakanda tersayang telah kembali ke sisinya.
                Alzheimer yang merupakan sejenis penyakit penurunan fungsi saraf otak yang kompleks dan progresif boleh melemahkan pertuturan, kewarasan, ingatan, pertimbangan, perubahan personality, dan tingkah laku yang tidak terkawal. Penyakit yang dihidapi Tengku Mukhriz ini juga telah menjejaskan fungsi intelektual  dan social Tengku Mukhriz sebagai Pengarah Urusan Garuda Holdings. Walaupun penyakit ini sering dikaitkan dengan factor penuaan namun lain pula pendapat yang diterima daripada para saintis. Mereka berpendapat bahawa penyakit ini berkait rapat dengan pembentukan dan perubahan sel-sel saraf yang normal menjadi serat. Aminoid protein yang membentuk sel-sel plak protein dipercayai menyebabkan neurotransmitter yang berfungsi menyampaikam mesej dari satu neuron pada neuron lain terjejas.
                Namun kini segalanya telah berubah. Keluarga diraja itu kembali bahagia. Anak tersayang telah kembali ke sisi. Ayahanda dan bonda kini tersenyum gembira.  

WANITA NADI NEGARA

Lanjutan daripada penganjuran Majlis Sambutan Hari Wanita Peringkat Kebangsaan Tahun 2007 yang telah diadakan dengan penuh gilang-gemilang pada 25 Ogos 2007 yang lalu, majlis yang seumpamanya turut disambut di peringkat negeri. Bermula dari negeri Sabah yang telah menyambutnya pada 10 September 2007 yang lalu, diikuti pula oleh negeri Sarawak, Perlis, Selangor, Perak, Pulau Pinang, negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan dan Kedah. Laungan penuh semangat “Wanita Nadi Negara” terus bergema di seluruh tanah air. Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri ini akan sempurna apabila majlis yang sama diadakan di W.P. Labuan, Melaka, W.P. Kuala Lumpur dan Putrajaya, Johor dan Pahang bermula.
 Objektif diadakan Majlis Sambutan Hari Wanita di peringkat negeri ini adalah sebagai pembakar serta dapat menyemarakkan semangat dan menjadi inspirasi kepada semua wanita di negara ini untuk membangunkan diri mereka agar lebih progresif, berdaya saing dengan jati diri kukuh sejajar dengan kedudukan mereka sebagai nadi kepada pembentukan keluarga harmoni, masyarakat penyayang dan negara yang maju dan makmur kerana “Wanita Nadi Negara”.




IBU TITIK KEBAHAGIAAN SESEBUAH KELUARGA

Dalam membincangkan peranan wanita dalam keluarga, perubahan telah berlaku pada peranan wanita sebagai isteri di dalam rumahtangga moden hari ini. Secara tradisional peranan isteri adalah untuk mentadbir hal-ehwal rumahtangga dan keluarga tetapi dengan timbulnya cara hidup baru berlakulah perubahan tertentu yang meluaskan lagi peranan para isteri.
 
 
Peranan wanita sebagai pengurus rumahtangga telah mengalami perubahan dengan adanya bantuan daripada orang gaji, pengetahuan sains dan teknologi yang telah mencipta pelbagai perkakas rumahtangga untuk memudahkan kerja-kerja mereka. Tugas sebagai ibu dan jentera penambah zuriat juga telah mengalami perubahan dalam erti kata wanita tidak lagi menyerahkan nasib mereka bulat-bulat kepada takdir, oleh kerana dengan adanya pengetahuan sains perubatan yang dapat mencipta alat-alat pencegah kehamilan. Ini menjadikan wanita perlu bangkit seiring dengan kemajuan yang dicapai tanpa meninggalkan sikap keluhuran, kemurnian dan tatasusila seorang wanita.
Hari ini para isteri moden mempunyai tanggungjawab yang lebih besar terhadap kebajikan suami berbeza dengan masa dahulu. Mereka tidak lagi memegang peranan hanya sebagai tukang masak dan pengasuh kanak-kanak sahaja, malah mereka juga pada waktu yang sama harus menjadi penyambut tetamu yang baik, setiausaha yang cekap, pengarah yang tegas dan menteri  yang berkaliber dan sebagainya. Menurut Datuk Dr Zaharah Sulaiman dalam symposium yang bertemakan  ‘Wanita Alaf Baru Abad ke 21’,  wanita hari ini telah mempunyai imej dan tanggungjawab sosial yang berbeza sesuai dengan kehendak dan perubahan zaman.
Imej-imej dan tanggungjawab sosial seperti ini akan membawa kepada perubahan di mana peranan kaum isteri ini dilihat adalah amat besar dalam terus memberi sumbangan dalam pembangunan negara. Dalam pada itu juga, seperti yang disuarakan oleh pemimpin peringkat nasional tentang krisis institusi keluarga di kebanyakan negara dapat dikategorikan sebagai serius. Kesan dan implikasi terhadap krisis ini akan memberikan kerugian jangka panjang kepada negara terutamanya terhadap penghasilan golongan intelektual dan berkebolehan.
Keadaan krisis ini mampu menebalkan amalan bercirikan individualistik dalam kalangan masyarakatnya. Akibatnya sistem nilai yang berteraskan keagamaan dan sosiobudaya mula kehilangan mekanisme kawalannya. Kelonggaran pegangan pada sistem nilai tradisi yang tidak diimbangi dengan penerapan nilai positif baru yang berkesan boleh mendorong generasi muda kita terpengaruh dengan nilai yang bersifat negatif yang diperolehi melalui media massa dan persekitaran di luar keluarga dan sekolah. Ini akan mengakibatkan potensi salah laku murid-murid di sekolah, penglibatan remaja dengan amalan lepak dan gejala dadah kian berleluasa. Oleh yang demikian alternatif yang diperlukan untuk mengatasi masalah ini dengan menjadikan peranan kaum ibu sebagai penasihat dan pengasuh supaya dapat memulihkan keutuhan fungsi institusi keluarga.
Di sinilah peranan yang dimainkan oleh kaum ibu yang bergelar wanita adalah penting agar pembangunan dan kemakmuran negara dapat dimajukan dengan baik tanpa mengorbankan pembangunan institusi keluarga. Ini kerana sekiranya diperhatikan dalam institusi keluarga, kaum ibulah yang paling rapat dengan anak-anak dan sumbangan mereka dalam melahirkan generasi yang berpekerti mulia banyak terletak di tangan mereka. Seperti mana yang diulas oleh Dr Muhammad Nur Munaty,  Presiden Angkatan Belia Islam  (ABIM),  yang mengatakan tugas dan peranan ibu adalah penting dalam menghalang anasir dan unsur yang cuba untuk mempengaruhi pemikiran dan budaya anak-anak.
Sekiranya diteliti peranan itu wanita sebagai ibu di dalam sistem kekeluargaan bukanlah semata-mata untuk menjaga makan-minum,  kesihatan dan keselesaan hidup anak-anak tetapi juga yang terpenting ialah untuk mendidik, mengasuh dan membimbing. Ini kerana kesan kepada didikan pada anak-anak itu akan memberikan manfaat kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara secara keseluruhannya. Sesungguhnya watak, keperibadian anak-anak terletak sebahagian besar di atas isi dan cara pendidikan yang diberikan oleh ibu bapa. Di dalam hal ini Rasulullah s.a.w  dalam hadisnya mengatakan:
“Tiap-tiap anak Adam itu dilahirkan dalam keadaan fitrah sehingga kedua ibubapanyalah yang akan menjadikannya seorang Nasrani,  Yahudi  ataupun Majusi.”  (Al-Hadis).
Dalam menentukan pembentukan anak-anak adalah yang terbaik dalam keluarga,  banyak kaum wanita sanggup mengenepikan kerjaya mereka bagi menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga. Dengan ini tidak hairanlah fakta yang menunjukkan peningkatan bilangan ibu yang berhenti kerja untuk menjadi pengasuh sepenuhnya di dalam keluarga adalah betambah dari masa ke semasa terutamanya bagi keluarga yang mempunyai anak lebih dari 2 orang.
Itu satu pandangan dan kupasan yang tepat dan padat. Kita fikirkan bersama demi kepentingan kita sebagai individu, keluarga kita, masyarakat dan bangsa kita,  dalam mengharungi perjalanan menuju ke zaman yang akan datang.

WANITA MEMACU EKONOMI NEGARA

Seiring dengan pembangunan yang dikecapi negara kini, tanggungjawab dan peranan wanita dalam meningkatkan sektor ekonomi negara makin berkembang. Ini dapat dilihat dengan tampilnya beberapa tokoh usahawan wanita berjaya dalam bidang perniagaan seperti Datuk Maznah Hamid, Datuk Khatijah Ahmad, Puan Rozita Ibrahim dan ramai lagi.


Datuk Maznah Hamid

 Perangkaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menunjukkan bahawa didapati 47 peratus tenaga kerja di negara ini terdiri daripada golongan wanita. Kenyataan ini sekali lagi diketengahkan oleh mantan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataannya baru-baru ini.
Beliau berkata, negara kini menyaksikan peningkatan 10 peratus penceburan wanita dalam kerjaya profesional, pengurusan dan teknikal sejak tahun 1990. Peningkatan ini dapat dilihat dalam sektor keusahawanan yang mencatatkan jumlah 82,911 usahawan terdiri daripada golongan wanita. Daripada jumlah ini 16 peratus daripada itu datangnya dari dalam Industri Kecil dan Sederhana (IKS).
Peningkatan yang memberangsangkan ini nyata membuktikan bahawa martabat wanita dalam sosiologi kehidupan telah banyak berubah. Peranan wanita kini tidak lagi hanya tertumpu kepada soal pengurusan keluarga sebaliknya lebih meluas dalam pembangunan negara. Apa yang dapat dilihat, wanita kini mula mendominasi bidang keusahawanan terutama dalam industri desa. Kesungguhan dan keyakinan wanita desa untuk mengusaha industri ini sedikit sebanyak meningkatkan taraf hidup dan ilmu pengetahuan wanita desa.

Puan Rozita Ibrahim

Justeru, bagi meningkatkan martabat wanita desa dari segi peranan dan kepentingan dalam pembangunan masyarakat, Women’s World Summit Foundation (WWSF) dan International Federation of Agricultural Producers (IFAP/FIPA) pada tahun 2000 bekerjasama mewujudkan sambutan Hari Wanita Desa Sedunia. Dengan kerjasama itu, Sambutan Hari Wanita Desa Sedunia mula disambut pada tarikh 15 Oktober setiap tahun bermula tahun 2000.
ANGKASA yang juga bertindak sebagai sebuah badan APEKS yang turut dianggotai oleh golongan wanita, mengadakan sambutan Hari Wanita Desa Sedunia pada setiap tahun. Sambutan yang dianjurkan memberi fokus kepada perubahan yang sesuai dengan situasi wanita desa di negara ini. ANGKASA juga turut berkongsi maklumat mengenai wanita dan gaya hidup sihat dalam setiap program sambutan yang dianjurkan.
Melihat kejayaan wanita pada era ini, pihak pengurusan ANGKASA menggembleng tenaga memperbanyakkan program keusahawanan sebagai galakan kepada koperator wanita memajukan diri dalam pembangunan koperasi dan negara. Antara program yang dijalankan ANGKASA adalah seperti Kursus Pentadbiran dan Pengurusan Koperasi, Kursus Keterampilan Bertutur, Pengurusan TASKA, Kursus Kepimpinan Wanita dan Kursus Keusahawanan Wanita (pengeluaran kerepek).
Dengan adanya pelbagai program ini, ANGKASA berharap koperator wanita mampu meningkatkan keupayaan diri dalam membangunkan bidang keusahawanan yang nyata serta dapat memberi sumbangan besar kepada pembangunan ekonomi negara. Segala usaha yang dilakukan ANGKASA perlu dimanfaatkan bersama demi pembangunan golongan wanita khususnya wanita desa dalam gerakan koperasi. Tidak mustahil wanita desa di Malaysia mampu mencorak kejayaan dalam kerjaya dan keluarga. MAJULAH WANITA UNTUK NEGARA!

WANITA GAGAH PERKASA

Pakar pergigian Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Kolonel Dr. Roshidah Ishak merupakan wanita pertama negara dilantik sebagai Brigedier Jeneral pada majlis pemakaian pangkat pegawai kanan Tentera Darat pada 19 Mac 2007.


Kolonel Dr. Roshidah Ishak adalah anak kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Beliau merupakan anak ketiga daripada sembilan adik-beradik dan beliau mendapat pendidikan awal di Kolej Tengku Kursiah, Seremban, Negeri Sembilan. Beliau kemudiannya mendapat Ijazah Sarjana Muda Pembedahan Pergigian dari Universiti Malaya pada tahun 1981. Beliau telah menerima Ijazah Master of Science (Periodontology) di Universiti Bristol, United Kingdom pada 1991. Beliau memegang jawatan sebagai Kapten di Pusat Pergigian Angkatan Tentera, dinaikkan pangkat kepada Mejar pada tahun 1987, Lt. Kolonel pada tahun 1993 dan Kolonel pada tahun 2007. Suami beliau ialah Encik Ahmad Zulkifle Mohd Zain berasal dari Kelantan dan juga bertugas dalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebagai Lt. Kolonel (Udara). Beliau mempunyai lima orang cahayamata iaitu tiga orang putera dan dua orang puteri.
Jawatan yang pernah disandang oleh beliau adalah Pegawai Pemerintah Panglima Gagah Angkatan Tentera (PGAT) Tentera Udara Diraja Malayia(TUDM), PGAT Sungai Petani dan Pegawai 1 Khidmat di Cawangan Pergigian, Bahagian Perkhidmatan Kesihatan di Kuala Lumpur. Hobi beliau pada masa lapang adalah bermain bola jaring, snorkeling dan selam scuba (scuba diving).

Satu pelajaran yang semua wanita patut pelajari daripada kisahnya adalah kita mestilah membuat perkara dengan bersungguh- sungguh dan jangan berputus asa jika hendak mencapai kejayaan. Jika sudah mempunyai cahaya mata, jangan terlalu sibuk menumpukan kerja, berikan masa juga untuk meluangkan masa bersama keluarga. Dengan ini, ia boleh membantu kita untuk mengimbangkan hidup kita sebagai seorang wanita bekerjaya.

SENDAYU TINGGI DITUBUHKAN TANPA BANTUAN SEORANG LELAKI

Rozita Ibrahim ialah contoh klasik mengenai seorang wanita yang hidup miskin dan menghadapi kesukaran demi kesukaran tetapi akhirnya mencapai kejayaan gemilang menerusi Sendayu Tinggi, syarikat yang diasaskannya sendiri. Siapa sangka, seorang ibu tunggal dan juga penoreh getah boleh merubah hidupnya dan membina empayar bernilai berjuta juta ringgit dan menyediakan peluang pekerjaan kepada orang lain.

Bagi Rozita sendiri, bukanlah mudah untuk mencapai tahap yang dinikmatinya kini. Banyak liku-liku dan ranjau kehidupan yang terpaksa diharunginya sebelum menempah kejayaan bersama Sendayu Tinggi. Pada usia yang mentah iaitu 18 tahun, dia telah berkahwin dan juga terpaksa menempuhi perceraian dan dalam masa yang sama membesarkan anak anaknya. Lebih malang lagi, salah seorang daripada anaknya jatuh sakit dan meninggal dunia tanpa sempat mendapat rawatan yang sewajarnya.
Pada zaman kesukarannya, pelbagai bidang kerja telah diceburi untuk menyara diri dan keluarga tetapi hasilnya amatlah tidak seberapa. Akhirnya, dalam keadaan terdesak, beliau membelanjakan beberapa ratus ringgit untuk memulakan formulasi kesihatan berasaskan herba. Untuk menguji keberkesanan produknya, beliau sanggup untuk menambahkan berat diri sendiri dan mencuba produk ciptaannya yang diberi nama Sendayu Tinggi.
Kini, segalanya adalah sejarah. Pada hari ini, produk Sendayu Tinggi adalah antara produk yang sering menjadi buah mulut masyarakat tempatan di Malaysia. Malah, produk produk hasilan Sendayu Tinggi kini telah mendapat tempat di pasaran luar termasuk Brunei, Singapura dan lain-lain. Pada tahun 2005 sahaja terdapat lebih 2000 pengedar sah. Beberapa pengedar Sendayu Tinggi di sekitar Kuala Lumpur juga dikatakan mencatat jualan sehingga mencecah RM1 juta sebulan.
Rozita mengakui bahawa kehidupan yang dinikmatinya sekarang adalah hasil daripada ketabahannya menghadapi segala keperitan dan rintangan hidup selama ini. Jelaslah kini bahawa wanita juga mampu melakukan perubahan tanpa kehadiran seorang insan yang bernama LELAKI!

NICOL ANN DAVID LAGENDA SKUASY ALAF 21

Menang atau kalah, beliau tetap bersahaja dan terus menguntum senyuman namun ketika melihat namanya diabadikan di gelanggang skuasy negara, air matanya membasahi pipi menandakan pengorbanan dan keringatnya selama ini untuk mengharumkan nama negara di persada dunia telah dihargai.


Itulah Datuk Nicol David yang bukan sahaja dikenali sebagai ratu skuasy negara, malah generasi muda berjiwa besar yang telah beberapa kali menjulang nama negara di peringkat antarabangsa.
Semalam, namanya telah diabadikan di gelanggang utama di Pusat Skuasy Nasional di Bukit Jalil sebagai Arena Nicol David. Pelancaran Arena Nicol David itu telah disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek. Turut menyaksikan majlis bersejarah itu ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim, Ketua Setiausaha, Mohd. Yassin Mohd. Salleh dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong.
Nicol ketika ditanya perasaan sehingga mengalirkan air mata ketika pelancaran gelanggang itu memberitahu, beliau sama sekali tidak menyangka perjuangannya dalam arena sukan skuasy begitu dihargai negara.
"Ia benar-benar memberi erti yang besar kepada saya untuk menerima penghargaan sebegini daripada kerajaan. Saya juga tidak pernah terfikir untuk menerima penghormatan sebegini sehinggalah ia benar-benar terjadi hari ini," katanya pada sidang media selepas pelancaran Arena Nicol David dan Galeri David di Pusat Skuasy Nasional.
Pencapaian Dato Nicol sejak beliau menjadi pemain nombor satu dunia memang tidak dapat dinafikan. Sikap kesungguhan dan tidak mengenal erti putus asa Dato Nicol David dalam mengharungi sebarang pertandingan, sepatutnya menjadi contoh kepada semua atlet sukan negara. Janganlah hanya baru menang satu pertandingan, disambut bagai wira negara, dihamburkan dengan segala macam kesenangan namun selepas itu prestasi merosot! Berubahlah, kerana perbelanjaan yang ditanggung adalah duit rakyat! Apa guna kalau melabur berjuta-juta kalau pulangannya kosong! Apapun, tahniah Datuk Nicol Ann David, Ikon Sukan Negara.


SITI NURHALIZA TERUS UNGGULI BIDANG HIBURAN

Tempoh 15 tahun yang penuh warna-warni   barangkali sudah cukup menterjemahkan perjalanan hidup anak seni bernama Siti Nurhaliza Tarudin ini. Daripada seorang gadis biasa dia kini menjadi sebuah kuasa  yang sukar ditundukkan. Kerana itu, tidak hairanlah jika dia sentiasa menjadi mangsa iri hati segelintir pihak.Lalu apabila namanya diumumkan sebagai Bintang Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 ( ABPH2009 ), apakah keputusan itu seharusnya dipertikaikan lagi? Ada benarnya ramai artis lain yang mampu meraih gelaran itu khususnya artis baru tetapi sehingga kini kehebatan Siti sukar dinafikan.                                         
Kejayaan itu merupakan rekod cemerlang buat Siti. Bukan sekadar tujuh kali menggenggam trofi Bintang Paling Popular tetapi Siti juga mencipta satu lagi rekod hebat apabila memenangi Penyanyi Wanita Popular selama 13 tahun berturut-turut.Kedua-dua rekod itu sudah cukup membuktikan kehebatan anak jati Pahang ini dalam bidang seni biarpun perlu bersaing dengan muka baru yang lebih menyerlah.


Bagi Siti, kemenangannya pada malam bersejarah itu amat disyukuri.
Jelas Siti, sepanjang menjadi artis, peminat merupakan nadi kekuatan dan pembakar semangatnya untuk meneruskan karier. Sementelah, ABPBH2009 merupakan penyertaan terakhirnya, Siti tidak menafikan kemenangannya itu hasil usaha peminat yang mahu melihatnya menjulang trofi tersebut buat kali terakhir. Apatah lagi, gelaran Bintang Paling Popular kali ketujuh itu disifatkannya sebagai hadiah terbaik daripada peminatnya sempena ulang tahun ke-15 sebagai anak seni.
"Saya bersyukur kerana memiliki peminat yang terbaik dan terhebat kerana mereka tidak pernah jemu menyokong walaupun ada ketika saya dihambat kontroversi. Namun begitu, mereka masih setia di belakang saya dan mahu terus melihat saya berdiri di pentas. Terima kasih atas segala sokongan, pengorbanan dan semangat yang mereka berikan kepada saya sepanjang 15 tahun," kata Siti dalam nada terharu.
Sebelum ini, Siti pernah memenangi kategori tersebut selama lima tahun berturut-turut dari tahun 1996 hingga 2001. Kemudian, gelaran itu berpindah kepada Rosyam Nor dan Saiful Apek sebelum Siti memenangi semula pada tahun 2004.
Sejak tahun 2005, ia menjadi milik Mawi selama tiga tahun berturut-turut sebelum Nabil menjulangnya tahun lalu.
Untuk gelaran Bintang Paling Popular, Siti menerima 225,300 undian menewaskan nama-nama seperti Aizat, Faizal Tahir, Mawi serta penyandang gelaran itu tahun lalu, Nabil. Selain trofi, Siti juga membawa pulang hadiah bernilai hampir RM330,000 termasuk sebuah kerata pacuan empat roda, Nissan X-Trail berharga RM130,000, barang kemas, perabot mewah dan pakej penginapan mewah di Hotel Palace of The Golden Horses.
Manakala untuk Penyanyi Wanita Popular pula, Siti membenamkan impian empat calon lain iaitu Jaclyn Victor, Mila, Stacy dan Yuna. Pada masa yang sama, Siti berharap tidak akan ada pihak yang cuba membangkitkan isu kemenangannya dirancang hanya kerana ABPBH2009 merupakan tahun terakhirnya. Dengan penuh diplomasi Siti menjelaskan, perkara itu tidak seharusnya timbul kerana ABPBH merupakan anugerah yang menjadikan peminat sebagai juri.
"Peminat saya bersungguh-sungguh mengundi. Saya tahu mereka benar-benar melakukan sedemikian. Apa yang saya harapkan, mereka akan terus menyokong saya walaupun saya tidak akan menyertai ABPBH lagi. Sudah semestinya, saya akan terus memberikan sokongan buat ABPBH pada masa depan," ujarnya yang anggun mengenakan busana rekaan Rizman Ruzaini pada malam itu.
Penyanyi lagu Ku Percaya Ada Cinta ini juga menolak dakwaan penarikannya daripada ABPBH kerana mahu memberi peluang kepada artis lain. Maklumlah, kalau nama Siti tersenarai, sudah pasti artis lain hanya mampu berputih mata. Dengan penuh rendah diri, biduanita muda negara ini menjelaskan, dia enggan menjadi seorang yang angkuh jika mengeluarkan kenyataan demikian.
"Saya fikir sesiapa sahaja boleh mencapai kejayaan seperti yang saya kecapi tidak kira penyanyi, pelakon, pengacara, penyampai radio ataupun artis komedi. Apa yang penting, kerja keras, pengorbanan dan kesabaran merupakan faktor penting untuk berjaya," katanya yang menamakan Aznil Nawawi dan Rabbani yang dilihat mampu mencatatkan rekod seperti mana dilakarnya untuk kategori Penyanyi Wanita Popular.

ZETI AKHTAR TOKOH MAAL HIJRAH 1432

Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dipilih sebagai penerima tokoh Maal Hijrah 1432H pada Majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Zeti, 63, merupakan penerima Tokoh Maal Hijrah wanita pertama negara selepas 24 tahun ia dianjurkan.
Beliau menerima hadiah wang tunai RM100,000, pingat, plak, dan sijil penghargaan.
Zeti dianggap sebagai penerima dua zaman kerana bapanya, tokoh akademik Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid pernah menerima anugerah itu 11 tahun lalu.

Bercakap kepada pemberita selepas penganugerahan itu, beliau berkata ia adalah penghormatan terbesar yang tidak pernah disangka dan diimpikan.   


  "Saya sangat berterima kasih dan ini juga sebagai dorongan dan inspirasi untuk saya terus berusaha," kata pemegang Sarjana dan ijazah kedoktoran Kewangan dan Ekonomi Antarabangsa dari University of Pennsylvania, AS itu. Selain menerima pelbagai anugerah dalam negara, beliau turut menerima pengiktirafan dari luar apabila dipilih menganggotai Suruhanjaya Pakar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk mencadangkan hala tuju sistem monetari dan kewangan dunia serta mempengerusikan Jawatankuasa Kerja Usahasama Serantau (EMEAP) bagi merangka pelan induk kerjasama kewangan antara bank-bank pusat.

Di bawah pimpinan Zeti, sistem kewangan Islam kini bertapak kukuh di negara ini dan menyumbang kepada sebuah sistem kewangan yang berdaya saing, pelbagai, komprehensif, dan inklusif.

Antara kejayaan Zeti dalam tempoh sedekad ialah menjadikan Malaysia sebagai pasaran sukuk terbesar di dunia, peningkatan aset perbankan Islam sebanyak tiga kali ganda kepada 21 peratus serta lebih 100 institusi kewangan Islam domestik dan antarabangsa kini beroperasi di Malaysia.

Di peringkat antarabangsa Zeti turut menyumbang kepada penerimaan global kewangan Islam termasuk dengan mengetuai pasukan antarabangsa dalam penyediaan laporan 'Financial Stability and Islamic Finance' dan mempengerusikan penubuhan Islamic Financial Services Board, sebuah agensi antarabangsa bagi menetapkan dasar kewangan prudent institusi kewangan islam seluruh dunia.

Berkongsi rahsia kejayaan, Zeti berkata beliau mengisi setiap masa yang ada dengan membaca terutama bahan bacaan mengenai kewangan, ekonomi, pembangunan kepimpinan, dan pembangunan kendiri. Justeru beliau menasihatkan kepada semua terutama golongan muda agar mempunyai keinginan dan rasa ingin tahu yang berterusan bagi meningkatkan pengetahuan.

Sementara itu, Ungku Abdul Aziz, 88, berbangga dengan kejayaan anak tunggalnya itu sebagai penerima pertama wanita untuk anugerah berkenaan. Kejayaan Zeti ini membuktikan bahawa wanita juga boleh berjaya di dalam bidang korparat walaupun hanya sebagai golongan minoriti dalam kalangan kaum lelaki yang memonopoli bidang ini.

IBU TUNGGAL PEMANGKIN KEJAYAAN 9 ANAK

Seorang ibu tunggal dari Kampung Batu 4, Binjai, Kemaman berjaya membesar dan mendidik sembilan cahaya mata sehingga enam daripadanya berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading serta memiliki kerjaya yang baik walaupun wanita gigih itu hanya bersandarkan pendapatan hasil kedai runcit kecil-kecilan berhampiran rumah.

“Mak cik selalu pesan anak-anak jangan tinggal sembahyang dan mereka sejak kecil memang menghormati saya dan arwah suami serta orang tua. Dengan sikap sedemikian mereka membesar dengan baik dan beroleh keberkatan dalam hidup,” kata Kiah @ Saadiah Talib, 64, selepas menerima Anugerah keluarga Mithali Terbilang 2010 Parlimen Kemaman di Awana Kijal, Kemaman, kelmarin 27 Julai .

Kiah berkata, walaupun kematian suami yang mengidap barah hati pada 30 September 2007, dia tidak menganggap kehilangan tunggak keluarga itu sebagai penghalang untuk terus mengecap kebahagian bersama anak-anak yang sudah dewasa dan enam daripadanya telah berkeluarga.

Nenek kepada 15 cucu itu berkata, kesemua anak-anaknya sering mengambil berat dan saling membantu antara satu sama lain sekaligus menguatkan lagi hubungan mereka sekeluarga dan setiap masalah yang melanda keluarga mereka dapat diatasi dengan baik.

Menurutnya, walaupun hidup mereka sejak dulu hanya bergantung kepada pendapatan yang tidak menentu melalui perniagaan kuih sebelum beralih menjual barangan runcit di kedai yang dibina berhampiran rumah, mereka tetap mampu menjalani kehidupan yang sederhana dan tidak berserah nasib kepada takdir semata-mata.

“Walaupun hidup ketika muda dan anak-anak masih kecil dulu tidak begitu senang, mak cik tetap bersyukur dikurniakan rezeki memiliki anak-anak yang mendengar kata dan rajin belajar untuk mengubah nasib keluarga dan hasilnya kami nikmati kini, “ kata Kiah yang turut berterima kasih kepada Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) kerana memilih keluarganya sebagai penerima anugerah itu.

Sembilan anak Kiah adalah Noriah Abu Bakar, 48, surirumah; Noreha, 46, guru (bekas penuntut Universiti Putra Malaysia); Musalmah, 44, surirumah; Hanafi 42, berniaga (bekas penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM); Tarmizi, 39, juruteknik (bekas penuntut Politeknik); Suhaidi, 35, pegawai agensi pelancongan ; Nurbairi, 29, jurutera (bekas penuntut UTM); Zatul Itri, 25 (sedang mengikuti Master di UPM) dan Nor Hasmira, 20, penuntut Universiti Teknologi Mara.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said dengan diiringi isteri, Toh Puan Norliza Mahmud menyampaikan hadiah kepada semua penerima anugerah mengikut Dewan Undangan Negeri (Dun). Hadir sama, Adun Air Putih, YB Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar dan Adun Kemasik, Ir Rosli Othman. Turut hadir, Pengarah YPK Terengganu, Encik Shafaruddin Mustafa.