Sunday, February 6, 2011

SITI NURHALIZA TERUS UNGGULI BIDANG HIBURAN

Tempoh 15 tahun yang penuh warna-warni   barangkali sudah cukup menterjemahkan perjalanan hidup anak seni bernama Siti Nurhaliza Tarudin ini. Daripada seorang gadis biasa dia kini menjadi sebuah kuasa  yang sukar ditundukkan. Kerana itu, tidak hairanlah jika dia sentiasa menjadi mangsa iri hati segelintir pihak.Lalu apabila namanya diumumkan sebagai Bintang Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 ( ABPH2009 ), apakah keputusan itu seharusnya dipertikaikan lagi? Ada benarnya ramai artis lain yang mampu meraih gelaran itu khususnya artis baru tetapi sehingga kini kehebatan Siti sukar dinafikan.                                         
Kejayaan itu merupakan rekod cemerlang buat Siti. Bukan sekadar tujuh kali menggenggam trofi Bintang Paling Popular tetapi Siti juga mencipta satu lagi rekod hebat apabila memenangi Penyanyi Wanita Popular selama 13 tahun berturut-turut.Kedua-dua rekod itu sudah cukup membuktikan kehebatan anak jati Pahang ini dalam bidang seni biarpun perlu bersaing dengan muka baru yang lebih menyerlah.


Bagi Siti, kemenangannya pada malam bersejarah itu amat disyukuri.
Jelas Siti, sepanjang menjadi artis, peminat merupakan nadi kekuatan dan pembakar semangatnya untuk meneruskan karier. Sementelah, ABPBH2009 merupakan penyertaan terakhirnya, Siti tidak menafikan kemenangannya itu hasil usaha peminat yang mahu melihatnya menjulang trofi tersebut buat kali terakhir. Apatah lagi, gelaran Bintang Paling Popular kali ketujuh itu disifatkannya sebagai hadiah terbaik daripada peminatnya sempena ulang tahun ke-15 sebagai anak seni.
"Saya bersyukur kerana memiliki peminat yang terbaik dan terhebat kerana mereka tidak pernah jemu menyokong walaupun ada ketika saya dihambat kontroversi. Namun begitu, mereka masih setia di belakang saya dan mahu terus melihat saya berdiri di pentas. Terima kasih atas segala sokongan, pengorbanan dan semangat yang mereka berikan kepada saya sepanjang 15 tahun," kata Siti dalam nada terharu.
Sebelum ini, Siti pernah memenangi kategori tersebut selama lima tahun berturut-turut dari tahun 1996 hingga 2001. Kemudian, gelaran itu berpindah kepada Rosyam Nor dan Saiful Apek sebelum Siti memenangi semula pada tahun 2004.
Sejak tahun 2005, ia menjadi milik Mawi selama tiga tahun berturut-turut sebelum Nabil menjulangnya tahun lalu.
Untuk gelaran Bintang Paling Popular, Siti menerima 225,300 undian menewaskan nama-nama seperti Aizat, Faizal Tahir, Mawi serta penyandang gelaran itu tahun lalu, Nabil. Selain trofi, Siti juga membawa pulang hadiah bernilai hampir RM330,000 termasuk sebuah kerata pacuan empat roda, Nissan X-Trail berharga RM130,000, barang kemas, perabot mewah dan pakej penginapan mewah di Hotel Palace of The Golden Horses.
Manakala untuk Penyanyi Wanita Popular pula, Siti membenamkan impian empat calon lain iaitu Jaclyn Victor, Mila, Stacy dan Yuna. Pada masa yang sama, Siti berharap tidak akan ada pihak yang cuba membangkitkan isu kemenangannya dirancang hanya kerana ABPBH2009 merupakan tahun terakhirnya. Dengan penuh diplomasi Siti menjelaskan, perkara itu tidak seharusnya timbul kerana ABPBH merupakan anugerah yang menjadikan peminat sebagai juri.
"Peminat saya bersungguh-sungguh mengundi. Saya tahu mereka benar-benar melakukan sedemikian. Apa yang saya harapkan, mereka akan terus menyokong saya walaupun saya tidak akan menyertai ABPBH lagi. Sudah semestinya, saya akan terus memberikan sokongan buat ABPBH pada masa depan," ujarnya yang anggun mengenakan busana rekaan Rizman Ruzaini pada malam itu.
Penyanyi lagu Ku Percaya Ada Cinta ini juga menolak dakwaan penarikannya daripada ABPBH kerana mahu memberi peluang kepada artis lain. Maklumlah, kalau nama Siti tersenarai, sudah pasti artis lain hanya mampu berputih mata. Dengan penuh rendah diri, biduanita muda negara ini menjelaskan, dia enggan menjadi seorang yang angkuh jika mengeluarkan kenyataan demikian.
"Saya fikir sesiapa sahaja boleh mencapai kejayaan seperti yang saya kecapi tidak kira penyanyi, pelakon, pengacara, penyampai radio ataupun artis komedi. Apa yang penting, kerja keras, pengorbanan dan kesabaran merupakan faktor penting untuk berjaya," katanya yang menamakan Aznil Nawawi dan Rabbani yang dilihat mampu mencatatkan rekod seperti mana dilakarnya untuk kategori Penyanyi Wanita Popular.

No comments:

Post a Comment