Sunday, February 6, 2011

WANITA MEMACU EKONOMI NEGARA

Seiring dengan pembangunan yang dikecapi negara kini, tanggungjawab dan peranan wanita dalam meningkatkan sektor ekonomi negara makin berkembang. Ini dapat dilihat dengan tampilnya beberapa tokoh usahawan wanita berjaya dalam bidang perniagaan seperti Datuk Maznah Hamid, Datuk Khatijah Ahmad, Puan Rozita Ibrahim dan ramai lagi.


Datuk Maznah Hamid

 Perangkaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menunjukkan bahawa didapati 47 peratus tenaga kerja di negara ini terdiri daripada golongan wanita. Kenyataan ini sekali lagi diketengahkan oleh mantan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataannya baru-baru ini.
Beliau berkata, negara kini menyaksikan peningkatan 10 peratus penceburan wanita dalam kerjaya profesional, pengurusan dan teknikal sejak tahun 1990. Peningkatan ini dapat dilihat dalam sektor keusahawanan yang mencatatkan jumlah 82,911 usahawan terdiri daripada golongan wanita. Daripada jumlah ini 16 peratus daripada itu datangnya dari dalam Industri Kecil dan Sederhana (IKS).
Peningkatan yang memberangsangkan ini nyata membuktikan bahawa martabat wanita dalam sosiologi kehidupan telah banyak berubah. Peranan wanita kini tidak lagi hanya tertumpu kepada soal pengurusan keluarga sebaliknya lebih meluas dalam pembangunan negara. Apa yang dapat dilihat, wanita kini mula mendominasi bidang keusahawanan terutama dalam industri desa. Kesungguhan dan keyakinan wanita desa untuk mengusaha industri ini sedikit sebanyak meningkatkan taraf hidup dan ilmu pengetahuan wanita desa.

Puan Rozita Ibrahim

Justeru, bagi meningkatkan martabat wanita desa dari segi peranan dan kepentingan dalam pembangunan masyarakat, Women’s World Summit Foundation (WWSF) dan International Federation of Agricultural Producers (IFAP/FIPA) pada tahun 2000 bekerjasama mewujudkan sambutan Hari Wanita Desa Sedunia. Dengan kerjasama itu, Sambutan Hari Wanita Desa Sedunia mula disambut pada tarikh 15 Oktober setiap tahun bermula tahun 2000.
ANGKASA yang juga bertindak sebagai sebuah badan APEKS yang turut dianggotai oleh golongan wanita, mengadakan sambutan Hari Wanita Desa Sedunia pada setiap tahun. Sambutan yang dianjurkan memberi fokus kepada perubahan yang sesuai dengan situasi wanita desa di negara ini. ANGKASA juga turut berkongsi maklumat mengenai wanita dan gaya hidup sihat dalam setiap program sambutan yang dianjurkan.
Melihat kejayaan wanita pada era ini, pihak pengurusan ANGKASA menggembleng tenaga memperbanyakkan program keusahawanan sebagai galakan kepada koperator wanita memajukan diri dalam pembangunan koperasi dan negara. Antara program yang dijalankan ANGKASA adalah seperti Kursus Pentadbiran dan Pengurusan Koperasi, Kursus Keterampilan Bertutur, Pengurusan TASKA, Kursus Kepimpinan Wanita dan Kursus Keusahawanan Wanita (pengeluaran kerepek).
Dengan adanya pelbagai program ini, ANGKASA berharap koperator wanita mampu meningkatkan keupayaan diri dalam membangunkan bidang keusahawanan yang nyata serta dapat memberi sumbangan besar kepada pembangunan ekonomi negara. Segala usaha yang dilakukan ANGKASA perlu dimanfaatkan bersama demi pembangunan golongan wanita khususnya wanita desa dalam gerakan koperasi. Tidak mustahil wanita desa di Malaysia mampu mencorak kejayaan dalam kerjaya dan keluarga. MAJULAH WANITA UNTUK NEGARA!

No comments:

Post a Comment