Sunday, February 6, 2011

TANGIS DI HUJUNG SENJA...

“Biarkan dia pergi! Anak tak sedar diuntung! Kau nak sangat jadi rakyat biasakan? Pergi! Mulai hari ini aku haramkan kau melangkah lagi ke dalam rumah ini. Ingat Tengku Mia Sara, kau pilih. Sekali kau melangkah keluar, jangan kau jejak lagi rumah ini. Aku tak mengaku lagi kau sebagai anakanda aku. Aku putuskan segala hubungan kau dengan kerabat diraja Johor! “
                “ Abang, mengucap abang. Mia anak kita,” Raja Tengku Sofia cuba memujuk suaminya, Tengku Mukhriz.
                Air mata mulai jatuh ke pipi Tengku Mia Sara yang berada di sudut ruang tamu banglo tiga tingkat itu. Namun dia sudah bertekad. Dia inginkan perubahan. Dia tidak mahu lagi dianggap sebagai puteri  raja yang manja dan tidak reti berdikari.
                “ Mia, kau pilih! “
                Tengku Mukhriz bangun menuju ke tingkat atas. Namun langkahnya terhenti di anak tangga.
                “ Baiklah, Mia akan keluar dari rumah ini. Mia akan buktikan kepada ayahanda bahawa tanpa pertolongan ayahanda, Mia juga boleh berjaya. Mia tidak kisah terputus hubungan sebagai kerabat diraja Johor. Mia yakin sebagai rakyat biasa pun, Mia masih boleh berjaya. Bukannya hanya enjoy dan menghabiskan duit rakyat.”
                “ Mia! Tarik balik kata-kata Mia itu. Mia sedar tak apa yang Mia katakan ini? “ Raja Tengku Sofia menggoncang-goncang bahu anak gadisnya itu.
                “ Biarkan dia pergi Sofia. Aku ingin melihat sejauh mana dia boleh melangkah tanpa kita. Mulai saat ini, aku gugurkan gelaran Tengku pada nama engkau. Kalau kau ingin sangat menjadi rakyat biasa, jangan kau guna lagi pengaruh keluarga ini. Aku berani bertaruh, dia akan kembali juga ke banglo ini, “ Tengku Mukhriz terus berpaling dan meneruskan langkahnya ke tingkat atas.
                Tengku Mia Sara juga menuju ke tingkat atas tanpa mengendahkan keadaan bondanya yang sedang teresak-esak menangis. Beberapa minit kemudian, dia turun dengan menjinjit sebuah bagasi besar di tangan kanannya.
                “ Maafkan Mia, bonda. Mia perlu pergi. Mia akan buktikan kepada keluarga ini suatu hari nanti bahawa Mia juga boleh berjaya. Bonda, tolonglah restui Mia. Mia ingin melakukan perubahan,” Tengku Mia Sara menyalami bondanya cuba menohon restu seorang ibu.
                Tengku Mia Sara melangkah keluar dari banglo tiga tingkat itu dengan penuh keazaman. Dia kini bukan lagi Tengku Mia Sara, puteri bongsu pasangan diraja Tengku Mukhriz dan Raja tengku Sofia. Tetapi dia kini Mia Sara, gadis 18 tahun yang akan memulakan dan mencari hala tuju hidupnya. Dia tidak mahu hanya menjadi seorang puteri raja yang manja dilimpahi segala kemewahan tetapi kini dia ingin menjadi seorang wanita yang menjadi nadi pembangunan sebuah negara. Itu tekadnya!
                Sesampainya dia di pintu pagar rumahnya, dia berpaling melihat ke muka pintu. Kelihatan sekuntum senyuman pahit penuh harapan terukir di bibir bondanya.
“ Mia, pergilah membina hidupmu anakanda. Bonda tunggu kepulanganmu suatu hari nanti. “ Raja Tengku Sofia memberikan restunya.
==================================================================================

“ Assalammualaikum, ibu, “ ucap Mia di muka pintu.
Rumah papan sederhana besar itu kelihatan sunyi sepi. Hanya kedengaran desir-desir angin sepoi-sepoi bahasa bertiup perlahan. Mia duduk di anak tangga memandang ke arah sawah yang terbentang luas di hadapannya. Tiba-tiba ingatannya kembali menerawang ke peristiwa 18 tahun lepas yang telah membawanya ke desa ini.
“ Awak kena tolong saya. Saya dah tinggalkan segala-galanya, “ rayunya penuh harapan kepada pemuda itu. Air mata di kelopak mata cuba ditahan daripada jatuh ke pipi. Demi sebuah harapan dan cita-cita, dia terpaksa menebalkan muka di hadapan seterunya itu.
“ Awakkan puteri raja. Takkanlah sampai terpaksa meminta bantuan golongan bawahan seperti kami ini. Tak malukah merayu sehingga ke muka pintu pondok buruk ini? “ Faiz memulangkan paku buah kerasnya.
Dia cuba mengeraskan hatinya walaupun di hadapannya kini seorang gadia sedang teresak-esak menangis. Perbualan di muka pintu itu telah menarik perhatian ibu Faiz, Mak Salmah untuk keluar menjenguk.
“ Kenapa  Faiz? Siapa ini? “ soal ibu tunggal berusia 50-an itu dengan kerutan di dahinya.
“ Entahlah ibu, puteri raja dari kayangan agaknya, “ jawab Faiz separuh menyindir.
“ Sudah, sudah. Bawa dia masuk, “ arah Mak Salmah sambil memeluk bahu Mia.
Mulai hari itu, semuanya telah berubah. Berbekalkan wang simpanan di dalam akaunnya dibantu dengan bantuan Mak Salmah dan Faiz, Mia mula membuka penternakan kambing di kampung itu. Bermula secara kecil-kecilan kini Mia boleh berbangga dengan kerjayanya sebagai penternak kambing. Namun jauh di sudut hati, kerinduan pada keluarga yang telah lama ditinggalkan sudah tidak terbendung lagi. Tetapi Mia sedar, dia kini sudah dibuang keluarga.
“ Sayang, kenapa duduk kat pintu ni? Mari masuk, “ sapaan suami tercinta menghentikan lamunannya.
“ Mama, jomlah masuk. Sofia lapar, “ rengek si kecil itu pantas menghadirkan senyuman di bibirnya. Hilang segala kesedihan yang dirasai sebentar tadi. Dia kini kembali tersenyum bahagia.


                “ Ameng, pesanan dari Alor Setar untuk kambing Jamna Pari tu kamu dah uruskan belum penghantarannya? “ Mia bertanyakan pekerjanya.
                “ Sudah puan, tengah hari nanti lori akan bertolak ke Alor Setar, “ jawab Ameng sambil memunggahkan makanan kambing ke dalam stor.
                Jamna Pari merupakan salah satu spesies kambing yang banyak diternak di Malaysia. Rupanya yang hodoh merupakan tarikan utama penternak kambing untuk menternaknya. Kambing jenis ini bersaiz besar dan mulutnya berbentuk parrot mouth. Bulu tebal dan panjang di peha dan pinggulnya yang dikenali sebagai feathers merupakan ciri utama spesies ini. Ditambah pula dengan kehadiran tanduk bagi kedua-dua jantina jantan dan betina, ekornya keras dan pendek. Berat kambing spesies ini boleh mencecah 120 kg bagi jantan dan 90 kg bagi betina. 
                “ Sayang, kita kena balik Johor Bahru sekarang. Sayang kena balik jenguk ayahanda. Ayahanda sakit sayang, “ berita yang dibawa suaminya cukup untuk menghentikan nafasnya buat seketika.
                Mia terduduk di bangku berhampiran dengannya.
                Faiz mendekati isterinya lalu mengusap lembut bahu Mia penuh pengertian.
                “ Abang, Mia tak boleh balik. Ayahanda dah tak mengaku Mia sebagai anaknya. Mia anak yang dibuang keluarga, “ ucap Mia dengan linangan air mata.
                Sudah sekelian lama Faiz tidak melihat air mata itu jatuh dari kelopak mata isterinya. Sejak 18 tahun yang lalu, Mia cukup tabah dalam mengharungi suka duka serta jatuh bangun hidupnya. Termasuklah ketika dia berhadapan dengan masalah perniagaannya dahulu. Sedikitpun dia tidak pernah menangis. Dia wanita yang cekal sehinggalah dia kini sudah bergelar usahawan wanita yang berjaya dan disanjung masyarakat kampung mereka. Tetapi tatkala mendengar berita mengenai ayahandanya, air mata itu pantas merembes keluar tanpa henti. Pada saat itu, Faiz dapat melihat sisi diri isterinya yang sarat dengan kerinduan pada keluarga tercinta. Selama 18 tahun isterinya itu tidak pernah sekali pun berbicara mengenai keluarganya. Namun hari itu segala-galanya berubah.
                “ Abang, apa yang perlu Mia lakukan? “ penuh kekeliruan wajah itu kelihatan begitu sayu dan suram.
                “ Mia, ayahanda pasti dah memaafkan Mia. Pulanglah Mia. Bonda merayu pada abang untuk membawa Mia pulang.”
                Mendengarkan tentang bondanya, air matanya kian deras menderu jatuh ke pipi. Lantas doa dipanjatkan kepada Ilahi semoga keputusan yang bakal dibuat tepat dan dapat membawa kebaikan kepada semua pihak. Tangan Faiz digenggam erat. Dia perlu pulang ke pangkuan keluarga!


                Kaki yang sebentar tadi laju melangkah kini kaku di hadapan pintu pagar banglo mewah itu. Serta-merta air matanya jatuh ke bumi. Matanya meneliti seisi rumah penuh kesyahduan. Rumah itu masih kelihatan sama sewaktu dia meninggalkannya 18 tahun lalu. Mia menoleh ke belakang. Mencari sang suami bagi mendapatkan sedikit kekuatan.
                “ Masuklah Mia, mereka pasti sedang menunggu kita,” ujar Faiz bagaikan mengerti gelora di hati isterinya.
                Berbeza sekali dengan Faiz yang tidak pernah boleh berjumpa dengan Tengku Mia Sara 18 tahun yang lepas. Mereka menjadi musuh ketat di sekolah. Mereka bersaing dalam pelbagai aspek baik dari segi jawatan ketua pengawas sehinggalah dalam melayakkan diri untuk mewakili sekolah dalam pertandingan catur dan juga bowling peringkat antarabangsa. Namun kejadian pada tengah hari itu telah merubah segala-galanya.
                “ Sedarlah diri kau tu sikit. Kau anak orang miskin, mampukah mak kau nak hantar kau ke Korea untuk menyertai pertandingan catur itu? Jangan susahkan orang lainlah Faiz. Kau bagi sahaja peluang itu kepada aku. Dah tentu mak bapak aku mampu untuk hantar aku ke sana. Tak perlulah kau bersusah payah untuk bekerja semata-mata untuk mencari wang saku ke sana, “ penuh sombong Tengku Mia Sara cuba untuk menaikkan api amarah Faiz.
                Faiz memandang saingannya itu dengan pandangan yang tenang dan bersahaja walaupun sebenarnya kata-kata Tengku Mia Sara untuk telah menaikkan darahnya. Dengan nada menyindir, Faiz menyedarfkan Tengku Mia Sara tentang suatu hakikat kehidupan.
                “ Tengku Mia Sara binti Tengku Mukhriz, puteri raja kerabat diraja Johor. Ya, aku mungkin anak orang miskin. Anak seorang petani yang turun ke bendang saban hari hanya untuk mencari sesuap nasi. Tapi sekurang-kurangnya aku bukanlah seorang anak kerabat yang hanya duduk di rumah menggoyang kaki menghabiskan duit rakyat. Apa yang kau banggakan dengan kehidupan kau? Hanya berbangga dengan kekayaan mak bapak. Kau puteri yang tidak pernah merasa nikmat kehidupan. Kau tidak pernah berusaha untuk mendapatkan sesuatu sebagaimana yang kami perlu lakukan sebagai rakyat biasa. Itu yang kau mahu megah-megahkan? Hei, sedarlah diri itu sedikit! Berbangga bukan dengan titik peluh sendiri, tak malukah? Dengar sini ya wahai puteri raja, hamba rakyat biasa ini mencabar tuan puteri untuk berdiri atas kaki sendiri dan mencapai kejayaan. Buktikan pada tuan hamba yang hina ini bahawa tuan puteri mampu berdikari tanpa bantuan daripada keluarga. Ada beranikah? “ suatu cabaran telah diberikan. Dan kerana ingin menyahut cabaran itulah Tangku Mia Sara telah dibuang kelurga.
                “ Mia anak bonda! “ jeritan penuh kegembiraan Raja Tengku Sofia membuatkan seisi rumah menoleh ke muka pintu.
                Lantas anak dan ibu yang sudah lama terpisah itu kembali berpelukan buat sekalian lamanya. Pantas Raja Tengku Sofia menarik tangan anak bongsunya itu ke tingkat atas. Tanpa sebarang bicara, Mia Sara hanya menurut diiringi suami dan anaknya. Tangannya yang sejuk dan menggigil sudah cukup untuk meyatakan tentang perasaannya yang bercampur-baur.
                Sampai sahaja di muka pintu kamar ayahandanya, kaki Mia bagaikan dipaku di situ. Terhenti langkahnya. Namun kenyataannya kembali bertambah apabila melihat raut wajah bonda tercinta yang memandangnya penuh harapan. Dan segala-galanya berubah apabila......
                “ Abang, tengok ni siapa datang, “ beritahu Raja Tengku Sofia membisikkan ke telinga suaminya.
                Raja Mukhriz membuka matanya perlahan-lahan. Tatkala terpandangkan anakanda yang telah lama dirindui kini berada di depan mata, dia mengeluh panjang. Hatinya dihambat kebimbangan. Pandangannya dialih ke sisi mengelak pandangan Mia Sara.
                “ Ayahanda, maafkan Mia, “ ucap Mia Sara pilu.
                Lantas tangan ayahanda tercinta dipegang. Mia menguatkan semangatnya walaupun dia sedikit terasa dengan reaksi ayahandanya sebentar tadi yang bagaikan tidak mengalu-alukan kedatangannya. Wajah Raja Tengku Sofia dipandang memohon pengertian. Faiz yang turut berada di situ bersama anak mereka turut berdebar-debar menunggu adegan seterusnya antara anak-beranak itu.
                “ Ayahanda, Mia pulang ke mari bukan kerana Mia gagal untuk berjaya dalam hidup tetapi Mia kembali untuk memberikan kejayaan dan kebanggaan ini kepada ayahanda. Mia telah buktikan ayahanda, tanpa kesenangan hidup kita juga boleh berjaya jika disertai dengan keazaman dan tekad yang kuat. Mia bawa sekali suami dan anak Mia ayahanda. Mia mohon ampun dan maaf kalau Mia berkahwin tanpa restu ayahanda. Mia cuba beritahu ayahanda masa tu tapi ayahanda enggan menjawab panggilan Mia. Maafkan Mia ayahanda. Sofia, mari salam dengan ninda, “ kedengaran getar suara Mia Sara semakin ketara.
                Tangan Sofia ditarik mendekati Tengku Mukhriz. Lalu anak kecil itu menyalami tangan tua itu dan mengucupnya penuh hormat. Tanpa disangka, pipi Tengku Mukhriz dicium mesra.
                “ Mari Sofia, kita balik, “ ujar Mia Sara dengan rasa terkilan yang sarat di hatinya. Tatkala pasangan suami isteri serta anak kecil itu sudah sampai di muka pintu, kedengaran Tengku Mukhriz memanggil.
                “ Anakanda, “ panggil Tengku Mukhriz lemah.
                Mia Sara menoleh ke belakang dengan linangan air mata. Lalu sepantas kilat dia berlari ke arah ayahandanya sebaik sahaja terlihat ayahandanya mendepangkan tangan tanda menerima kepulangannya.
                “ Mia, maafkan ayahanda. Ayahanda terlalu mementingkan keturunan dan harta ketika menghalau engkau dari rumah ini. Ayahanda terlalu mengikut ego ayahanda walaupun jauh di sudut hati ayahanda pada ketika itu terdetik dan percaya bahawa engkau pasti berjaya. Ayahanda telah memisahkan engkau dengan bonda engkau. Maafkan ayahanda, anakanda, “ pohon Tengku Mukhriz. Air mata seorang ayah yang terlalu merindu anaknya akhirnya jatuh jua.
                Lalu anak beranak itu berpelukan.
                Derita pesakit Alzheimer itu akhirnya berkurangan apabila anakanda tersayang telah kembali ke sisinya.
                Alzheimer yang merupakan sejenis penyakit penurunan fungsi saraf otak yang kompleks dan progresif boleh melemahkan pertuturan, kewarasan, ingatan, pertimbangan, perubahan personality, dan tingkah laku yang tidak terkawal. Penyakit yang dihidapi Tengku Mukhriz ini juga telah menjejaskan fungsi intelektual  dan social Tengku Mukhriz sebagai Pengarah Urusan Garuda Holdings. Walaupun penyakit ini sering dikaitkan dengan factor penuaan namun lain pula pendapat yang diterima daripada para saintis. Mereka berpendapat bahawa penyakit ini berkait rapat dengan pembentukan dan perubahan sel-sel saraf yang normal menjadi serat. Aminoid protein yang membentuk sel-sel plak protein dipercayai menyebabkan neurotransmitter yang berfungsi menyampaikam mesej dari satu neuron pada neuron lain terjejas.
                Namun kini segalanya telah berubah. Keluarga diraja itu kembali bahagia. Anak tersayang telah kembali ke sisi. Ayahanda dan bonda kini tersenyum gembira.  

No comments:

Post a Comment