Sunday, February 6, 2011

IBU TITIK KEBAHAGIAAN SESEBUAH KELUARGA

Dalam membincangkan peranan wanita dalam keluarga, perubahan telah berlaku pada peranan wanita sebagai isteri di dalam rumahtangga moden hari ini. Secara tradisional peranan isteri adalah untuk mentadbir hal-ehwal rumahtangga dan keluarga tetapi dengan timbulnya cara hidup baru berlakulah perubahan tertentu yang meluaskan lagi peranan para isteri.
 
 
Peranan wanita sebagai pengurus rumahtangga telah mengalami perubahan dengan adanya bantuan daripada orang gaji, pengetahuan sains dan teknologi yang telah mencipta pelbagai perkakas rumahtangga untuk memudahkan kerja-kerja mereka. Tugas sebagai ibu dan jentera penambah zuriat juga telah mengalami perubahan dalam erti kata wanita tidak lagi menyerahkan nasib mereka bulat-bulat kepada takdir, oleh kerana dengan adanya pengetahuan sains perubatan yang dapat mencipta alat-alat pencegah kehamilan. Ini menjadikan wanita perlu bangkit seiring dengan kemajuan yang dicapai tanpa meninggalkan sikap keluhuran, kemurnian dan tatasusila seorang wanita.
Hari ini para isteri moden mempunyai tanggungjawab yang lebih besar terhadap kebajikan suami berbeza dengan masa dahulu. Mereka tidak lagi memegang peranan hanya sebagai tukang masak dan pengasuh kanak-kanak sahaja, malah mereka juga pada waktu yang sama harus menjadi penyambut tetamu yang baik, setiausaha yang cekap, pengarah yang tegas dan menteri  yang berkaliber dan sebagainya. Menurut Datuk Dr Zaharah Sulaiman dalam symposium yang bertemakan  ‘Wanita Alaf Baru Abad ke 21’,  wanita hari ini telah mempunyai imej dan tanggungjawab sosial yang berbeza sesuai dengan kehendak dan perubahan zaman.
Imej-imej dan tanggungjawab sosial seperti ini akan membawa kepada perubahan di mana peranan kaum isteri ini dilihat adalah amat besar dalam terus memberi sumbangan dalam pembangunan negara. Dalam pada itu juga, seperti yang disuarakan oleh pemimpin peringkat nasional tentang krisis institusi keluarga di kebanyakan negara dapat dikategorikan sebagai serius. Kesan dan implikasi terhadap krisis ini akan memberikan kerugian jangka panjang kepada negara terutamanya terhadap penghasilan golongan intelektual dan berkebolehan.
Keadaan krisis ini mampu menebalkan amalan bercirikan individualistik dalam kalangan masyarakatnya. Akibatnya sistem nilai yang berteraskan keagamaan dan sosiobudaya mula kehilangan mekanisme kawalannya. Kelonggaran pegangan pada sistem nilai tradisi yang tidak diimbangi dengan penerapan nilai positif baru yang berkesan boleh mendorong generasi muda kita terpengaruh dengan nilai yang bersifat negatif yang diperolehi melalui media massa dan persekitaran di luar keluarga dan sekolah. Ini akan mengakibatkan potensi salah laku murid-murid di sekolah, penglibatan remaja dengan amalan lepak dan gejala dadah kian berleluasa. Oleh yang demikian alternatif yang diperlukan untuk mengatasi masalah ini dengan menjadikan peranan kaum ibu sebagai penasihat dan pengasuh supaya dapat memulihkan keutuhan fungsi institusi keluarga.
Di sinilah peranan yang dimainkan oleh kaum ibu yang bergelar wanita adalah penting agar pembangunan dan kemakmuran negara dapat dimajukan dengan baik tanpa mengorbankan pembangunan institusi keluarga. Ini kerana sekiranya diperhatikan dalam institusi keluarga, kaum ibulah yang paling rapat dengan anak-anak dan sumbangan mereka dalam melahirkan generasi yang berpekerti mulia banyak terletak di tangan mereka. Seperti mana yang diulas oleh Dr Muhammad Nur Munaty,  Presiden Angkatan Belia Islam  (ABIM),  yang mengatakan tugas dan peranan ibu adalah penting dalam menghalang anasir dan unsur yang cuba untuk mempengaruhi pemikiran dan budaya anak-anak.
Sekiranya diteliti peranan itu wanita sebagai ibu di dalam sistem kekeluargaan bukanlah semata-mata untuk menjaga makan-minum,  kesihatan dan keselesaan hidup anak-anak tetapi juga yang terpenting ialah untuk mendidik, mengasuh dan membimbing. Ini kerana kesan kepada didikan pada anak-anak itu akan memberikan manfaat kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara secara keseluruhannya. Sesungguhnya watak, keperibadian anak-anak terletak sebahagian besar di atas isi dan cara pendidikan yang diberikan oleh ibu bapa. Di dalam hal ini Rasulullah s.a.w  dalam hadisnya mengatakan:
“Tiap-tiap anak Adam itu dilahirkan dalam keadaan fitrah sehingga kedua ibubapanyalah yang akan menjadikannya seorang Nasrani,  Yahudi  ataupun Majusi.”  (Al-Hadis).
Dalam menentukan pembentukan anak-anak adalah yang terbaik dalam keluarga,  banyak kaum wanita sanggup mengenepikan kerjaya mereka bagi menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga. Dengan ini tidak hairanlah fakta yang menunjukkan peningkatan bilangan ibu yang berhenti kerja untuk menjadi pengasuh sepenuhnya di dalam keluarga adalah betambah dari masa ke semasa terutamanya bagi keluarga yang mempunyai anak lebih dari 2 orang.
Itu satu pandangan dan kupasan yang tepat dan padat. Kita fikirkan bersama demi kepentingan kita sebagai individu, keluarga kita, masyarakat dan bangsa kita,  dalam mengharungi perjalanan menuju ke zaman yang akan datang.

No comments:

Post a Comment