Sunday, February 6, 2011

NICOL ANN DAVID LAGENDA SKUASY ALAF 21

Menang atau kalah, beliau tetap bersahaja dan terus menguntum senyuman namun ketika melihat namanya diabadikan di gelanggang skuasy negara, air matanya membasahi pipi menandakan pengorbanan dan keringatnya selama ini untuk mengharumkan nama negara di persada dunia telah dihargai.


Itulah Datuk Nicol David yang bukan sahaja dikenali sebagai ratu skuasy negara, malah generasi muda berjiwa besar yang telah beberapa kali menjulang nama negara di peringkat antarabangsa.
Semalam, namanya telah diabadikan di gelanggang utama di Pusat Skuasy Nasional di Bukit Jalil sebagai Arena Nicol David. Pelancaran Arena Nicol David itu telah disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek. Turut menyaksikan majlis bersejarah itu ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim, Ketua Setiausaha, Mohd. Yassin Mohd. Salleh dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong.
Nicol ketika ditanya perasaan sehingga mengalirkan air mata ketika pelancaran gelanggang itu memberitahu, beliau sama sekali tidak menyangka perjuangannya dalam arena sukan skuasy begitu dihargai negara.
"Ia benar-benar memberi erti yang besar kepada saya untuk menerima penghargaan sebegini daripada kerajaan. Saya juga tidak pernah terfikir untuk menerima penghormatan sebegini sehinggalah ia benar-benar terjadi hari ini," katanya pada sidang media selepas pelancaran Arena Nicol David dan Galeri David di Pusat Skuasy Nasional.
Pencapaian Dato Nicol sejak beliau menjadi pemain nombor satu dunia memang tidak dapat dinafikan. Sikap kesungguhan dan tidak mengenal erti putus asa Dato Nicol David dalam mengharungi sebarang pertandingan, sepatutnya menjadi contoh kepada semua atlet sukan negara. Janganlah hanya baru menang satu pertandingan, disambut bagai wira negara, dihamburkan dengan segala macam kesenangan namun selepas itu prestasi merosot! Berubahlah, kerana perbelanjaan yang ditanggung adalah duit rakyat! Apa guna kalau melabur berjuta-juta kalau pulangannya kosong! Apapun, tahniah Datuk Nicol Ann David, Ikon Sukan Negara.


No comments:

Post a Comment